Paras FBM KLCI melepasi 1,600 mata, nilai pasaran ekuiti domestik cecah angka tertinggi – PM
PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pertumbuhan ekonomi bagi suku pertama tahun ini amat memberangsangkan iaitu pada kadar 4.2 peratus.
Perdana Menteri berkata, pencapaian ekonomi itu melebihi anggaran kebanyakan pihak yang mengunjurkan pada 3.9 peratus.
“Meski dalam suasana ekonomi dunia yang terus dalam ketidaktentuan, hampir kesemua sektor telah melonjak dan memangkin pertumbuhan buat suku pertama tahun 2024. Antaranya pasaran buruh berkembang 2.1 peratus menjadikan jumlah tenaga kerja meningkat kepada 16.4 juta.
“Kadar inflasi kekal rendah pada 1.7 peratus ketimbang 1.6 peratus pada suku keempat 2023,” katanya dalam Perutusan Negara hari ini.
Dalam pada itu katanya, bagi empat bulan pertama 2024, jumlah dagangan Malaysia berkembang 8.3 peratus kepada RM912.27 bilion.
“Kita juga kekal mencatat lebihan dagangan berjumlah RM41.83 bilion. Dan yang lebih membanggakan, kita telah mencapai paras FBM KLCI melepasi 1,600 mata dan nilai pasaran ekuiti domestik mencecah angka tertinggi dalam sejarah sebanyak RM2 trillion,” katanya.