Mahkamah Rayuan tangguh keputusan pendakwaan peribadi terhadap Firdaus Wong, Zamri
PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan hari ini menangguhkan keputusan untuk memulakan pendakwaan peribadi terhadap dua pendakwah Islam yang didakwa menghina agama orang bukan Islam.
Panel tiga hakim dipengerusikan oleh Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim yang bersidang bersama Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali menetapkan 7 Jun ini bagi keputusan kes.
Terdahulu, pada 8 Januari 2021, Presiden Persekutuan Hak Asasi Manusia Global (GHRF), S Shashi Kumar memfailkan permohonan pendakwaan peribadi itu di Mahkamah Majistret Shah Alam, namun ditolak Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali pada 3 September 2021, atas alasan siasatan polis terhadap Firdaus adalah NFA (Tiada Tindakan Lanjut) manakala siasatan terhadap Zamri masih diteruskan.
Pada 3 Mac tahun lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak rayuan S Shashi Kumar untuk memulakan pendakwaan persendirian terhadap Muhammad Zamri dan Firdaus Wong.
Pesuruhjaya Kehakiman, Wendy Ooi berkata, tiada merit dalam rayuan dikemukakan S Shashi Kumar terhadap pendakwa raya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana kesalahan menimbulkan permusuhan antara kumpulan berbeza atas alasan agama atau kaum.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjarakan sekurang-kurangnya dua tahun, dengan tempoh tahanan maksimum lima tahun.