Bunuh jiran: Lelaki warga emas dipenjara 30 tahun
PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini, hari ini menggantikan hukuman penjara 38 tahun kepada penjara 30 tahun terhadap seorang lelaki warga emas selepas dia didapati bersalah membunuh jirannya, empat tahun lalu.
Panel tiga hakim dipengerusikan oleh Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim yang bersidang bersama Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.
Tertuduh Mohamad Shaharudin, 69, diperintah menjalani hukuman penjara dari tarikh tangkapan iaitu 4 Mei 2020.
“Hukuman penjara 38 tahun yang ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi sebelum ini diketepikan dan diganti dengan penjara 30 tahun selepas mengambil kira faktor kesihatan dan usia tertuduh,” kata Ahmad Zaidi.
Pada 26 Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi Ipoh menjatuhkan hukuman penjara 38 tahun terhadap Mohamad Shaharudin kerana didakwa dengan sengaja menyebabkan kematian Zaharah Khalid, 77, di sebuah rumah di Kampung Pasir Panjang Laut, Seri Manjung dalam daerah Manjung sekitar jam 8 malam pada 3 Mei 2020.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Seramai 13 saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan dipanggil untuk memberi keterangan sepanjang perbicaraan yang bermula Ogos 2021.
Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki bertindak luar kawalan dengan memukul dan memijak wanita warga emas hingga maut sebelum membuang mayatnya dalam parit di Kampung Pasir Panjang, Sitiawan.
Kejadian yang dipercayai berlaku akibat pertengkaran itu disedari selepas polis menerima laporan kehilangan mangsa yang tidak pulang ke rumah selepas keluar berseorangan dengan motosikal pada jam 10 pagi.
Mayat wanita itu berjaya ditemui anggota polis dalam keadaan separuh tenggelam pada jam 2 pagi pada 4 Mei 2020.