Malaysia berduka atas tragedi menimpa Presiden Iran, penumpang helikopter – PM
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan takziah dan dukacita di atas tragedi nahas helikopter yang mengorbankan Presiden Iran, Ebrahim Raisi dan delegasi kepemimpinan negara itu, termasuk Menteri Luarnya, Hossein Amir-Abdollahian.
“Malaysia lantas berduka atas tragedi ini dan bersedih atas malapetaka yang menimpa negara sahabat Iran.
“Doa dan solidariti buat rakyat Republik Islam Iran, dan semoga Allah SWT mengampuni dosa mereka dan memberi tempat yang istimewa di sisiNya,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuatnaik menerusi platform media sosialnya.
Dalam pada itu Anwar menyifatkan Allahyarham sebagai pemimpin yang mudah dan selesa untuk bekerjasama.
“Saya sempat ketemu almarhum Presiden Raisi di New York, Amerika Syarikat pada tahun lalu dan telah menekuni pelbagai perkara yang dekat dengan kedua-dua negara.
“Beliau menonjolkan sikap yang terbuka tetapi tegas terutamanya dalam soal pembangunan rakyatnya serta punyai keupayaan yang tinggi dalam memelihara Iran sebagai negara dan tamadun yang kuat.
“Saya selesa bekerjasama dengan beliau dan tragedi ini tentunya menyedihkan dan meninggalkan bekas yang mendalam terutamanya dalam perjuangan membela warga Palestin,” katanya.
Semalam, helikopter yang membawa Presiden dan Menteri Luar Iran itu dilaporkan terpaksa melakukan ‘pendaratan kecemasan’ di kawasan pergunungan di barat laut Iran.
Nahas itu berlaku di Hutan Dizmar antara bandar Varzaqan dan Jolfa di Wilayah Azerbaijan Timur ketika Raisi dalam perjalanan pulang dari satu majlis perasmian empangan bersama Presiden Azerbaijan, Ilham Aliyev.
Persatuan Bulan Sabit Merah Iran sebelum ini mengesahkan telah tiba di tapak nahas susulan dron milik Turki mengesan satu kawasan di Wilayah Azerbaijan Timur yang mengeluarkan haba.