Kes masak mi segera: Polis sahkan individu ditahan bukan anak Timbalan Menteri
KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan tiada dalam kalangan 15 orang yang ditahan berkait kes memasak mi segera di sebuah stesen minyak di Genting Highlands, baru-baru ini anak orang kenamaan atau VIP.
Ini selepas tular di media sosial berkenaan penahanan 15 orang individu berkait kes itu termasuk dua daripadanya yang didakwa sebagai anak kepada Timbalan Menteri.
“Kesemua 15 yang ditahan bukan anak Timbalan Menteri atau VIP,” kata Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Zaiham berkata, empat daripada 15 orang yang ditahan untuk siasatan berkait kegiatan memasak tersebut akan dituduh di mahkamah, esok.
Katanya, proses pertuduhan ke atas mereka akan dijalankan di Mahkamah Bentong, Pahang, pada jam 9 pagi.
“Mereka akan dituduh mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan (perbuatan yang membahayakan nyawa atau keselamatan diri orang lain).
“Selebih 11 lagi individu dibebaskan dan dijadikan saksi dalam kes ini,” katanya.
Terdahulu, Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, dilaporkan berkata polis menahan 15 orang termasuk lima wanita berusia 23 hingga 28 tahun untuk membantu siasatan kes itu.
Katanya, mereka ditahan Sabtu lalu ketika hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong, Pahang untuk dirakam percakapan.
Bagaimanapun, Yahaya berkata kesemuanya sudah pun dibebaskan dengan jaminan selepas polis selesai merakam percakapan mereka.