Negara Komanwel setuju pakai amalan baik Malaysia pastikan aspirasi digital, AI dijayakan – Zambry
LONDON – Negara-negara Komanwel bersetuju untuk menjadikan Malaysia sebagai salah satu negara contoh yang mempunyai amalan baik bagi memastikan aspirasi digital dan kecerdasan buatan (AI) dijayakan.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, keputusan itu dicapai ketika beliau terlibat dalam High Level Sessions sempena Persidangan Menteri Pendidikan Komanwel (22CCEM) di London, United Kingdom yang berlangsung pada 16 hingga 17 Mei.
“Mesyuarat yang diadakan bersetuju untuk mengambil Malaysia sebagai salah satu negara contoh yang mempunyai ‘best practice’ bagi memastikan aspirasi digital dan AI dijayakan.
“Pada masa sama, Malaysia juga mengesyorkan aspek pembinaan manuasiawi yang terangkum di dalamnya nilai spritual, rasa ihsan, empati dan belas kasihan yang merupakan satu teras yang perlu ada dalam sistem pendidikan sejak dari awal.
“Ini juga merupakan asas yang sering ditekankan oleh Perdana Menteri senario pendidikan terkini dan dunia yang berkembang pantas diasak arus teknologi Revolusi Perindustrian 4.0 seperti AI dan tsunami digital perlu seiring pentingnya kekuatan manusiawi dan akhlak serta nilai, kerana fakor itu tiada dalam AI,” katanya dalam satu kenyataan.
CCEM merupakan pertemuan antara Menteri-Menteri Negara Komanwel bagi membincangkan mengenai perihal pendidikan semasa dan juga perkongsian bersama bagi meningkatkan kualiti pendidikan dalam kalangan negara Komanwel.
Katanya, cadangan Malaysia diperakui dan diterima oleh mesyuarat untuk dijadikan asas dan Malaysia boleh dijadikan rujukan oleh negara Komanwel yang lain.
Dalam pada itu katanya, mesyuarat kali ini menunjukkan keseriusan untuk semua negara ahli Komanwel memastikan pendidikan di setiap negara dapat membangun bersama terutamanya dalam kita mengejar kepantasan dunia teknologi semasa.
“Dalam rumusan yang telah dilakukan oleh mesyuarat kali ini, antara syor yang dipersetujui ialah Komanwel perlu menjadi entiti penting dalam bidang pendidikan.
“Antara cadangannya ialah untuk mewujudkan Commonwealth AI Coordinating Program sebagai langkah untuk membantu 56 buah negara anggota Komonwel yang kebanyakannya masih berhadapan dengan masalah infra dan kemudahan asas internet,” katanya.