Kerajaan komited laksana pelbagai inisiatif pacu pembangunan digital – MCMC
KOTA KINABALU – Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama syarikat telekomunikasi hari ini menganjurkan sambutan Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Berinformasi Sedunia (WTISD) di sini.
Sambutan itu yang dilancarkan oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil diadakan di usat beli-belah Imago di sini.
Menurut MCMC, bertemakan Kelestarian Pembangunan Inovasi Digital, sambutan WTISD tahun ini sejajar dengan komitmen kerajaan bagi memperkasakan masyarakat dalam merapatkan jurang digital serta merancakkan pembangunan ekonomi negara ke arah pembangunan yang lestari.
“WTISD merupakan acara tahunan yang disambut secara rasminya pada setiap 17 Mei bagi memperingati ulang tahun Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) dan Konvensyen Telegraf pertama di Paris pada tahun 1865.
“Kerajaan akan terus menyokong pelbagai inisiatif yang dilaksanakan untuk memacu dan memperkukuh pembangunan digital,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut MCMC, antaranya menerusi penyediaan kesalinghubungan dan akses internet berkelajuan tinggi kepada rakyat di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), pelaksanaan teknologi 5G serta pemasangan peranti satelit Starlink di kawasan luar bandar yang tidak mempunyai internet.
Dalam pada itu katanya, sambutan itu turut mendapat kerjasama daripada Allo, CelcomDigi, Maxis, REDtone, Telekom Malaysia (TM), U Mobile, YES, Sabah Net, Digital Nasional Berhad (DNB) dan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI).
Turut hadir Setiausaha Tetap, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi
Sabah (KSTI), Datuk Mohd Hanafiah bin Mohd Kassim mewakili Menteri Sains,
Teknologi dan Inovasi Sabah serta Ketua Pegawai Pembangunan MCMC, Ir. Azizi A. Hadi.