Jenayah & Mahkamah

Serangan bom petrol disyaki bermotifkan perseteruan perniagaan – Ketua Polis KL

KUALA LUMPUR – Insiden serangan bom petrol di sebuah pusat hiburan di Jalan Yap Kwan Seng di sini pada 9 Mei lalu disyaki bermotifkan perseteruan perniagaan.

Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, siasatan mendapati kejadian berpunca daripada perselisihan faham antara ahli perniagaan dan tidak membabitkan unsur kongsi gelap.

“Ini kes terpencil, salah faham antara ahli perniagaan sahaja. Ada antara mereka yang plan (rancang), ada yang upah, ada yang membaling (bom petrol). Suspek baharu akan direman hari ini,” katanya selepas hadir pada Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Rusdi turut memaklumkan, pihaknya telah menahan sorang lagi suspek lelaki tempatan ditahan malam tadi, menjadikan tangkapan keseluruhan kes itu kepada seramai enam orang.

“Semalam, ada lima tangkapan, pagi ini ada tambahan lagi seorang jadi enam (orang) dan ada dua lagi masih bebas. Saya ingat ada dua atau tiga orang lagi yang perlu ditangkap.

“Dua daripada suspek yang ditahan akan disambung reman bersabit siasatan kes merusuh di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan,” katanya ketika ditemui

Katanya, semua individu yang ditahan mempunyai peranan masing-masing dan ada antara mereka yang mempunyai rekod jenayah lampau.

Laporan media sebelum ini menyebut, sebuah pusat hiburan di Jalan Yap Kwan Seng di sini, terbakar selepas dipercayai dibaling dengan bom petrol pada 9 Mei lalu.

Video kejadian yang turut berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) kemudiannya menjadi tular di media sosial.

Rakaman berdurasi 45 saat itu menunjukkan empat lelaki menaiki dua motosikal berhenti di hadapan premis terbabit dan membaling dua bom petrol sebelum beredar dari lokasi kejadian.

Show More

Related Articles

Back to top button