ADUN Mata Ayer ditidurkan, alami komplikasi sakit tiroid
KANGAR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mata Ayer, Wan Badariah Wan Saad yang dimasukkan ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar sejak semalam selepas didapati mengalami masalah kesihatan akibat komplikasi daripada sakit tiroid yang dihidapinya berada dalam keadaan stabil.
Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Pemerkasaan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Perlis berusia 48 tahun itu kini di bawah pemantauan doktor hospital berkenaan.
“Saya difahamkan beliau kini stabil sejak dirawat di HTF bermula semalam dan keadaannya kini masih dipantau oleh doktor.
“Beliau pun ditidurkan sejak semalam selepas masalah tiroidnya mula memberi kesan kepada jantung dan paru-paru juga didapati berair,” katanya memetik laporan BH Online.
Terdahulu beliau mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco Negeri di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, hari ini.
Katanya, buat masa ini, kesihatan Wan Badariah adalah keutamaan dan pihaknya mengesyorkan agar ADUN itu bercuti buat sementara waktu.
“Buat masa ini juga, kita belum mengambil keputusan untuk melantik sesiapa dalam kalangan EXCO untuk memangku tugasan beliau. Sama-samalah kita berdoa agar kesihatan YB Wan Badariah pulih kembali,” katanya.