Berita Semasa

Pokok tumbang: Pihak berkuasa perlu pantau,tebang jika membahayakan orang ramai

KUALA LUMPUR – Kejadian pokok tumbang yang meragut nyawa seorang pemandu kereta di Jalan Sultan Ismail di sini dan yang terbaharu berlaku semalam telah mencetuskan resah pengguna jalan raya terutamanya di ibu negara.

Dengan keadaan cuaca yang tidak menentu dan sering berlakunya hujan lebat serta rebut petir pada sebelah petang menambah kerisauan pengguna jalan raya yang bimbang jika berlakunya sekali lagi kejadian yang tidak diingini itu.

Menurut seorang peniaga, Nurul Akma Mohd Razali, 23, dia berasa trauma apabila hujan lebat diikiuti dengan ribut petir kerana pernah menyaksikan kejadian pokok tumbang di depan mata pada bulan lalu.

Nurul Akma Mohd Razali, 23

Katanya, kejadian itu menyebabkan ketakutan apabila ingin pulang dari tempat kerja jika keadaan hujan lebat.

“Tambahan pula saya memandu kereta untuk berulang alik ke tempat kerja, kejadian pokok tumbang yang berlaku baru-baru ini menyebabkan kerisauan saya bertambah.

“Jadi saya mohon kepada pihak yang berkenaan untuk melihat isu ini dengan segera sama ada pokok-pokok tua ini perlu ditebang atau bagaimana,” katanya kepada Malaysia Tribune.

Turut sependapat ialah Farah Alia Mazlan, 20, yang berharap pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dapat memantau pokok-pokok di ibu negara dengan lebih kerap.

“Saya sering menggunakan laluan ini atas urusan-urusan peribadi jadi dengan kes terbaharu ini ia amat merisaukan saya. Sebagai pengguna jalan raya, saya berharap pokok-pokok tua ini segera ditebang bagi mengelakkan risiko terhadap orang awam,” katanya.

Dalam pada itu, menurut Sharifah Nur Aqisyah Syed Noh, 19, dia juga bimbang dengan kejadian yang berlaku baru-baru ini.

Katanya, paling merisaukan apabila perlu berjalan di bawah pokok kerana terbayang kejadian yang malang yang menimpa pengguna jalan raya baru-baru ini.

Sharifah Nur Aqisyah Syed Noh dan Farah Alia Mazlan, mahasiswi di universiti swasta berumur 19 tahun dan 20 tahun

Sementara itu, Hiruddin Hashim, 63, yang merupakan seorang ketua pegawai eksekutif di sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di sini mempunyai pendapat yang berbeza apabila tidak bersetuju untuk menebang pokok-pokok berkenaan.

Katanya, semua pihak tidak perlu terlalu mengikutkan emosi dalam menangani isu tersebut.

Dia yang mengambil maklum isu berkenaan, berkata, tidak mudah untuk menanam dan menjaga pokok untuk mencapai saiz besar, jadi tidak wajar dengan sewenang-wenangnya menebang pokok-pokok tersebut biarpun telah mencapai usia lebih 100 tahun.

Hiruddin Hashim, ketua pegawai eksekutif di sebuah syarikat GLC

Menurut pendapat beliau mengambil contoh seperti menusia yang memerlukan penjagaan rapi apabila sudah lanjut usia.

“Bukan senang nak tanam pokok, kalau dah sampai usia sebegitu takkan kita perlu matikan (tebang) dia.

“Orang pun macam tu, kalau dah tua sangat takkan kita nak matikan manusia tu kan,” katanya.

Sehubungan itu, dia menggesa supaya pihak DBKL melantik mereka yang mempunyai kemahiran dalam bidang tersebut untuk memastikan keselamatan semua pihak.

“Saya minta kerajaan jangan membuat keputusan yang drastik dengan memotong pokok-pokok.

“Pokok ini sebenarnya cantik, dapat meredupkan dan menyejukkan kita di sini,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button