Gunapakai Hilf al-Fudul sebagai asas tangani isu kemanusiaan global
PUTRAJAYA – Konsep Hilf al-Fudul, yang mewujudkan pakatan bagi memastikan keadilan untuk semua melalui tindakan kolektif, harus diguna pakai sebagai asas dalam menangani isu kemanusiaan global.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, pakatan yang ditubuhkan pada zaman Nabi Muhammad untuk membela yang lemah dan tidak bersalah terhadap mereka yang lebih berkuasa, masih relevan terutamanya dalam mempertahankan rakyat Gaza yang ditindas.
“Pada ketika kita bersatu di persidangan ini, marilah kita menyalurkan tenaga kolektif kita ke arah memupuk dunia, di mana keadilan bukan sahaja ideal tetapi realiti untuk setiap manusia yang ditindas dan bersengketa.
“Mari kita ingat bahawa kekuatan kita bukan hanya terletak pada kepercayaan kita yang sama, tetapi pada kemanusiaan juga,” katanya ketika berucap pada Sidang Kemuncak Perundingan Muslim Sedunia di Istanbul, Turkiye.
Ucapan tersebut dimuat naik dalam satu hantaran di akaun Facebook miliknya, hari ini.
Bagi merealisasikan adaptasi Hilf al-Fudul dalam dunia moden, Mohd Na’im turut mencadangkan pembentukan dana bantuan kemanusiaan sejagat, yang boleh diakses oleh semua rantau yang dilanda konflik.
Selain itu, perlu juga diwujudkan rangka kerja penyelesaian konflik global yang inklusif yang memanfaatkan prinsip keadilan dan perantaraan dalam Islam, serta sistem pendidikan dan advokasi antarabangsa untuk memupuk budaya kerjasama dalam keamanan.
“Kita juga mesti membentuk gabungan global, yang bukan sahaja memahami tetapi menjunjung prinsip Hilf al-Fudul. Melibatkan negara dari seluruh dunia bagi memastikan penyertaan dan sokongan menyeluruh,” katanya lagi.