Berita Semasa

IGN anjur persidangan antarabangsa Model United Nations

KUALA LUMPUR – International Global Network (IGN) akan mengadakan persidangan antarabangsa Model United Nations (MUN) sepanjang 2024.

Ketua Pegawai Eksekutif IGN, Muhammad Fahrizal berkata, persidangan ini memberi peluang kepada anak muda dari seluruh dunia untuk mengembangkan kemampuan dan bakat serta mendapatkan maklumat terkini.

“Persidangan ini akan membuka gerbang pengetahuan kepada para belia dari seluruh penjuru dunia untuk mendapat pengalaman serta ilmu yang tak dapat dilupakan.

“Ia bertujuan mempersiapkan mereka bagi menghadapi masa depan yang penuh cabaran, dalam dunia industri dan pendidikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Antara persidangan anjuran MUN 2024 ialah Asia World Model United Nations VIII di Bali Indonesia (12-15 Julai), Asia Youth International Model United Nations 14th di Kuala Lumpur (2-5 Ogos), Asia World Model United Nations IX di Seoul, Korea Selatan (10-13 Oktober) dan Asia Youth International Model United Nations 15th di Bangkok,Thailand (1-4 November).

Menurut beliau, untuk permulaan program ini akan mengasah bakat para peserta seperti bagaimana cara berfikir secara kritis, teknik berucap di khalayak umum serta kerja secara berkumpulan.

“Nilai-nilai ini selaras dengan fokus Kurikulum Merdeka pada pengembangan soft skills dan karakter.

“Lebih dari sekadar debat, MUN menerapkan pembelajaran praktikal yang selaras dengan falsafah kurikulum merdeka dan pendekatan berpusat pada peserta akan mendorong pembelajaran mandiri,” katanya lagi.

Beliau turut berkata, para peserta akan terlibat aktif dalam aktiviti yang dirancang untuk membantu mereka mengembangkan potensi diri secara maksimum.

“Penglibatan dalam persidangan simulasi sidang PBB memberikan para peserta keterampilan dan pengalaman yang berguna untuk melanjutkan pendidikan atau kerjaya di masa hadapan.

MUN menampilkan panel jemputan yang boleh memberi inspirasi kepada para peserta dan melahirkan alumni yang berjaya,” katanya lagi.

Antara tokoh-tokoh yang telah menjadi panel dalam persidangan tersebut ialah Setiausaha Pertama (Politik) Kedutaan Besar Afrika Selatan di Thailand, Lebogang Seshoka; Timbalan Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Adam Adli Abd Halim; Duta Besar Afrika Selatan di Malaysia, David Malcomson dan Duta Besar Jepun di Malaysia, Takahashi Katsuhiko.

Sejak 2016, IGN telah mengadakan sebanyak 61 persidangan antarabangsa dan mempunyai 21,000 alumni dari 125 negara.

IGN mengalu alukan anak muda dari seluruh dunia untuk mendaftar ke persidangan MUN itu nanti.

Show More

Related Articles

Back to top button