Jenayah & Mahkamah

Pusat hiburan terbakar: 2 lelaki ditahan

KUALA LUMPUR – Pihak polis menahan dua lelaki bagi membantu siasatan berkaitan kes kebakaran sebuah pusat hiburan di Jalan Yap Kwan Seng akibat dibaling bom petrol pada awal pagi kelmarin.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, berkata kedua-dua lelaki berumur 25 tahun itu ditahan pukul 3 petang di sebuah rumah, semalam.

“Kita akan mengemukakan perintah reman terhadap kedua-dua suspek terbabit esok (hari ini) dan berdasarkan siasatan awal, kejadian berkenaan tidak melibatkan sebarang unsur ekstremisme.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah,” katanya ketika ditemui pada Majlis Hari Raya Aidilfitri Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, di sini semalam.

Dalam pada itu, Rusdi berkata setakat ini pihaknya telah mengambil keterangan pemilik premis dan pengurus pusat hiburan berkenaan bagi membantu siasatan.

Sebelum ini, tular di media sosial satu video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan empat individu menaiki motosikal membaling bom petrol di hadapan pusat hiburan berkenaan.

Show More

Related Articles

Back to top button