Berita Semasa

Kilang pau, kopi di Tanjung Malim guna sijil halal tamat tempoh diserbu

TANJUNG MALIM – Sebuah kilang pemprosesan pau dan kopi yang telah beroperasi selama 50 tahun di sini, diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak setelah didapati menggunakan sijil halal yang telah tamat tempoh.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, operasi itu berikutan pemeriksaan terhadap pemegang-pemegang sijil halal yang masih menggunakan logo halal walaupun sijil mereka telah tamat tempoh pada bulan September 2022.

“Pengusaha pau tersebut telah diberi nasihat oleh JAIPk untuk memperbaharui permohonan sijil halal, namun pemilik kilang tersebut tidak mengambil tindakan,” katanya.

Katanya, seorang lelaki tempatan yang berusia 50-an dipercayai sebagai pemilik kilang, telah ditahan untuk siasatan lanjut.

Jelasnya, pemeriksaan awal mendapati kilang tersebut telah beroperasi selama lebih dari 50 tahun dan mempunyai empat cawangan.

Beliau menegaskan tindakan undang-undang telah diambil di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.

Sehubungan itu, pihak berkuasa menyita pau dan kopi yang menggunakan logo halal tanpa kelulusan sah dari JAIPk.

“Nilai keseluruhan barang rampasan dianggarkan berjumlah RM30,000.00. Kes ini sedang disiasat di bawah Perintah 8(a), Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 iaitu kesalahan memperakui mana-mana makanan sebagai halal tanpa kebenaran yang sah,” tambahnya.

Dalam pada itu, operasi penguat kuasa bersepadu adalah hasil kerjasama KPDN Perak bersama dengan pihak Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).

KPDN Perak menegaskan bahawa mereka akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang berkaitan dengan sijil halal bagi memastikan keselamatan dan produk makanan kepada orang ramai.

Show More

Related Articles

Back to top button