Doktor sifatkan Faisal Halim sangat istimewa
SHAH ALAM – Pemain bola sepak Harimau Malaya, Faisal Halim disifatkan istimewa oleh doktor pakar apabila kesan lecuran di anggota badannya menunjukkan tanda pemulihan cukup cepat, kata Ahli Lembaga Pengarah Selangor FC (SFC), Datuk Seri Shahril Mokhtar.
Menurutnya, setakat ini proses pemulihan pemain 26 tahun itu berjalan lancar namun memerlukan sekurang-kurangnya tiga hari lagi sebelum menjalani prosedur pembedahan seterusnya.
“Sekarang ini, doktor maklumkan biarlah badan Faisal membuat ‘kerjanya’ sebelum menunggu masa sesuai untuk menjalani pembedahan seterusnya kerana ketika ini paling penting adalah mahu memastikan tiada sebarang komplikasi.
“Doktor pakar yang merawatnya mengganggap Faisal seorang yang istimewa kerana proses pemulihan dia sangat cepat,” katanya.
Jelas Shahril, meskipun keadaan pemulihannya yang cepat, Faisal tetap perlu mengambil masa seminggu lagi untuk berada di unit rawatan rapi (ICU) sebelum dapat kebenaran doktor untuk pindah ke wad lain.
Dalam pada itu, beliau turut menjangka Faisal akan pulang ke rumahnya pada pertengahan bulan depan.
Sebelum ini, Faisal yang mengalami lecur tahap empat kerana disimbah asid sulfurik berjaya menjalani pembedahan ketiga membabitkan prosedur ‘skin allograft’.
Mengikut rekod, Faisal terpaksa mengharungi beberapa siri pembedahan bagi merawat kesan lecur simbahan asid itu.
Pada masa ini, sebarang lawatan dari individu lain tidak dibenarkan bagi memastikan prosedur ‘skin allograft’ berjalan lancar tanpa sebarang jangkitan kuman, ujar Shahril.