Jenayah & Mahkamah

Mahkamah Rayuan tolak permohonan Tun Daim dan keluarganya

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin serta keluarganya untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman bagi mencabar siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mereka.

Keputusan sebulat suara berkenaan dibuat
panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Azizah Nawawi, yang bersidang bersama Datuk Hashim Hamzah dan Datuk Azizul Azmi Adnan.

Pada 5 Mac lalu, Daim dan keluarganya memfailkan rayuan, sehari selepas Mahkamah Tinggi menolak permohonan mereka.

Pada 4 Mac, Hakim Mahkamah Tinggi Wan Ahmad Farid Wan Salleh memutuskan bahawa Daim dan keluarganya gagal membuktikan terdapat unsur mala fide (niat jahat) terhadap pegawai SPRM yang menjalankan siasatan.

Menerusi permohonan itu, pemohon mendakwa pada 30 Disember 2023, SPRM telah mengeluarkan kenyataan bahawa satu siasatan terhadap Daim telah dibuka berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada Kertas Pandora.

Daim berkata, Kertas Pandora ialah fail sulit yang bocor pada 2021 yang mendedahkan nama-nama pemilik syarikat luar pesisir, aset serta akaun bank di luar bidang kuasa Malaysia dan kesemua fail tidak menunjukkan sebarang salah laku beliau dan keluarganya.

Justeru itu, mereka memohon antara lain perintah mahkamah supaya SPRM dan para pegawainya membatalkan semua siasatan yang dimulakan terhadap pemohon dari Februari 2023 sehingga kini serta membatalkan semua notis yang dikeluarkan oleh SPRM.

Show More

Related Articles

Back to top button