Kementerian Komunikasi bangunkan WhatsApp Chatbot, aplikasi semakan berita palsu
HULU SELANGOR – Kementerian Komunikasi sedang dalam usaha mengemaskini kemudahan ‘WhatsApp Chatbot’ yang dibangunkan bersama Meta Platforms Inc untuk kegunaan semakan pengesahan maklumat di media sosial.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, kemudahan itu akan dilancarkan pada hujung bulan ini selepas mencuba kemudahan tersebut dan berpuas hati dengan keupayaannya.
“Saya sudah cuba dan berpuas hati dengan aplikasi itu, namun ketika ini ia memerlukan sedikit masa bagi menyelesaikan beberapa aspek teknikal bersama Meta sebelum dilancarkan.
“Kemudahan ini kita bangunkan kerana banyak mesej-mesej tidak benar, fitnah disebarkan menerusi WhatsApp.
“Pengguna boleh menggunakan chatbot untuk dipastikan kesahihannya, dan akan mendapat maklum balas dalam tempoh satu atau dua minit,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pra Pelancaran Rangka Kerja Perkongsian Rangkaian dan Infrastruktur anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Peretak, di sini hari ini.
Majlis turut dihadiri Ketua Pegawai Pembangunan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Azizi A Hadi.
Beliau yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, Chatbot tersebut mempunyai kebolehan untuk memberi maklum balas dalam pelbagai bahasa utama iaitu Bahasa Melayu, Inggeris, Cina dan India.
“Keupayaannya hanya berdasarkan teks, maknanya jika kita hantar dokumen, video atau gambar, ia masih belum mampu membuat semakan.
“Kita harap pada masa depan akan ada fungsi itu,” katanya.
Mengenai majlis Pra Peluncuran Rangka Kerja Perkongsian Rangkaian dan Infrastruktur itu, Fahmi berkata, kerjasama itu melibatkan pihak pengendali rangkaian mudah alih (MNO) untuk menambah baik kualiti perkhidmatan dan infrastruktur.
Bagi tujuan itu katanya, sebanyak 102 menara telekomunikasi telah dikenal pasti meliputi tujuh kawasan tumpuan iaitu lebuh raya, universiti awam, hospital, stadium, kawasan tumpuan pelancong, kem askar serta kuarters polis dan juga kawasan-kawasan sambutan perayaan.
Antara MNO yang terlibat adalah CelcomDigi (dua rangkaian berasingan), Maxis, U Mobile, Telekom Malaysia dan YTL Communications.