MCMC dalam peringkat akhir siapkan butiran MoU dengan Microsoft
MCMC, Microsoft dijadualkan tandatangani MoU pada 14 Mei
KUALA LUMPUR – Pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) kini dalam peringkat akhir menyiapkan terma memorandum persefahaman (MoU) yang akan ditandatangani dengan Microsoft pada 14 Mei nanti.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, apabila perjanjian itu dimeterai, Microsoft akan melabur sebanyak US$2.2 billion (RM10.5 billion) dalam tempoh empat tahun bagi menyokong usaha transformasi pendigitalan Malaysia.
“Kerjasama strategik itu akan menyaksikan MCMC dan Microsoft bekerjasama dalam meningkatkan tenaga kerja, termasuk memanfaatkan sumber semasa yang kita ada dalam mengajar rakyat cara menggunakan teknologi AI (kecerdasan buatan),” kata Nie Ching.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada majlis penutup Persidangan Kawal Selia Antarabangsa 2024, di sini hari ini.
Beliau seterusnya berkata, MoU itu turut mempunyai tujuan menjana manfaat sosioekonomi melalui penggunaan teknologi AI, termasuk melalui promosi dan pelaksanaan inisiatif kemahiran dan aplikasi AI yang dibangunkan oleh MCMC.
Selain itu, MoU tersebut akan mengaplikasikan inisiatif kemahiran AI Microsoft di semua Pusat Penyebaran Maklumat Kebangsaan (NADi) MCMC atau platform lain mengikut kesesuaian.
Perkongsian itu juga, tambah Nie Ching, bertujuan untuk mempromosikan penggunaan AI yang bertanggungjawab untuk masa depan yang dipacu AI yang inklusif dan saksama.
“Saya yakin, penggunaan teknologi ini akan dapat diperkasakan berdasarkan fokus kita dalam memastikan ketersediaan dan penggunaan teknologi baharu dapat mencapai keseluruhan kelompok masyarakat kita yang meliputi pelbagai golongan umur da lapisan masyarakat,” katanya lagi.