Berita Semasa

Nilai import agromakanan cecah RM78.7 bilion tahun lalu

SERDANG –  Malaysia mencatat nilai import agromakanan negara mencecah RM78.7 bilion pada tahun lalu berbanding nilai eksport RM46.38 bilion dengan nilai defisit tertinggi.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, beliau menekankan kepentingan negara untuk mengurangkan defisit antara nilai import dan eksport agromakanan agar pengaliran keluar wang negara dapat dikurangkan.

“Defisit ini masih terlalu tinggi dan usaha perlu dipertingkatkan untuk mengurangkan defisit ini dan mengurangkan pengaliran keluar wang negara.

“Sektor agromakanan telah memberikan sumbangan yang signifikan kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) iaitu 11.6 peratus.

“Walau bagaimanapun, kita masih berdepan cabaran untuk mengurangkan jurang antara import dan eksport agromakanan kita,” katanya dalam ucapan Majlis Amanat YB Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan Sambutan Mesra Aidilfitri di Maeps, Serdang.

Beliau berkata, pertumbuhan agromakanan dalam sektor pertanian, pembuatan dan perkhidmatan pada tahun 2023 telah meningkat 4.3 peratus kepada RM181.4 bilion berbanding RM173.9 bilion pada tahun 2022 .

Dalam pada itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada kementerian kerana usaha memulakan pengeluaran bawang merah, mengeksport durian segar ke China dan memperluas tanaman nenas yang diharapkan dapat menyumbang kepada pengurangan defisit perdagangan agromakanan negara.

Sementara itu, Mohamad akan ke Rusia dalam masa terdekat untuk meneroka pasaran baru di luar negara bagi meluaskan potensi pasaran agromakanan.

Show More

Related Articles

Back to top button