Berita Semasa

Kenaikan 35 peratus gaji kakitangan kerajaan 2007 hanya libatkan gred rendah – Fahmi

PUTRAJAYA – Kenaikan gaji penjawat awam sehingga 35 peratus pada 2007 bukan menyeluruh tetapi cuma melibatkan kumpulan pelaksana dua gred satu iaitu gred rendah.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, tangga gaji pada waktu itu bagi kumpulan pelaksana dua yang berada di gred satu hanya sekitar RM800 sahaja.

“Bagi yang menyebarkan (kenaikan) 35 peratus pada 2007, ada dua perkara sangat penting. Mereka  hanya baca tajuk sahaja, 35 peratus pada waktu itu merujuk penjawat awam dalam kumpulan pelaksana dua gred satu.

“Waktu itu, gred satu pada 2007, pendapatan RM800 sebulan. Keadaan ekonomi jauh berbeza. Kalau nak diungkit, kena berlaku adil, konteksnya berbeza,” katanya kepada pemberita selepas perasmian pejabat Pusat Operasi Pakatan Harapan (PH) di Presint 11 di sini.

Fahmi yang juga jurucakap kerajaan berkata demikian bagi menjelaskan kenaikan gaji lebih 13 peratus penjawat awam yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sambutan Hari Pekerja pagi tadi merupakan antara kenaikan tertinggi dalam sejarah.

Beliau berkata kumpulan penjawat awam dalam kumpulan tertinggi ketika 2007 hanya menerima kenaikan gaji sekitar 7.5 peratus.

“Kalau nak dibandingkan itulah konteksnya, kenaikan 35 peratus (waktu itu) hanya 1/4 daripada cerita penuh, angka disebut perdana menteri hari ini lebih tinggi daripada kali terakhir Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA)  dikaji semula. Apapun bermula 1 Disember, penjawat awam dapat gaji lebih,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button