KADA sahkan pegawai kanannya ditahan SPRM
KOTA BHARU – Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) mengesahkan seorang pegawai kanannya ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) malam tadi.
Pengerusi KADA, Muhammad Husim bagaimanapun enggan mengulas lanjut kerana baharu mengetahui perkara berkenaan.
“Saya sendiri baharu tahu selepas dimaklumkan oleh kakitangan berhubung tangkapan ini. Minta maaf saya tidak boleh komen lanjut kerana tidak tahu secara terperinci. Mungkin lain kali saya komen,” katanya ketika dihubungi portal Buletin TV3, sebentar tadi.
Terdahulu, media melaporkan seorang pegawai kanan sebuah agensi kerajaan di Kelantan ditahan selepas dipercayai membuat tuntutan palsu sejak tahun lalu.
Menurut sumber, lelaki berusia 40-an itu ditahan pada pukul 9.30 malam tadi ketika dipanggil memberi keterangan di pejabat SPRM.
Katanya, lelaki terbabit dikatakan membuat beberapa tuntutan palsu pada tahun lalu dan tahun ini berkaitan dengan program agensi terbabit.