Berita Semasa

Polis tunggu laporan forensik kandungan telefon bimbit

Siasatan kes anak KPD Lahad Datu maut terkena tembakan

KOTA KINABALU – Pihak polis masih menunggu laporan forensik isi kandungan telefon bimbit milik anak perempuan Ketua Polis Daerah (KPD) Lahad Datu yang maut akibat terkena tembakan pada 16 April lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, sebelum ini, pihaknya sudah menghantar telefon bimbit berkenaan kepada Pasukan Unit Forensik Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah untuk disiasat.

“Kita masih meneruskan siasatan termasuk menunggu laporan forensik bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan dengan telefon berkenaan.

“Kita ingin mendapatkan kandungan di dalam telefon bimbit mangsa. Telefon bimbit berkenaan ada kata laluan dan kita serahkan kepada pihak forensik untuk memastikan tiada masalah teknikal berlaku,” katanya, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, di sini.

Majlis Serah Tugas itu dijalankan antara Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah yang bersara wajib kepada bekas Ketua Polis Daerah Beluran, Asisten Komisioner Kasim Muda.

Kata Jauteh lagi, bapa mangsa ketika ini masih menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai Ketua Polis Daerah Lahad Datu seperti biasa.

Terdahulu, mangsa yang berusia 14 tahun ditemui berlumuran darah di dalam bilik di rumahnya di Taman Tabanak, Lahad Datu.

Siasatan polis mendapati mangsa meninggal dunia akibat kecederaan terkena tembakan di bahagian dada kanan.

Mangsa dipercayai tertembak diri sendiri menggunakan pistol milik bapanya.

Show More

Related Articles

Back to top button