Berita Semasa

Permohonan UPU online fasa 2 bermula hari ini hingga Jun 2024

PUTRAJAYA – Permohonan Fasa 2 UPUOnline bagi kemasukan pelajar sesi akademik 2024/2025 ke program asasi, sijil, diploma dan ijazah sarjana muda dibuka bermula hari ini hingga 9 Jun depan.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berkata, kemasukan tersebut adalah di 20 universiti awam (UA), 36 politeknik, 105 kolej komuniti dan empat institusi latihan kemahiran awam (ILKA).

“Permohonan ini hanya dibuka bagi program pengajian yang tidak bertemu duga atau ujian sahaja. Semua calon berkelayakan dipelawa mengambil peluang ini bagi menyambung pengajian di peringkat pendidikan tinggi.

“Sebanyak 504 program pengajian ditawarkan kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan 1,114 program pengajian ditawarkan kepada lepasan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) atau setaraf oleh UA, politeknik dan kolej komuniti,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Calon boleh membuat pembelian Nombor PIN UPUOnline melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) mulai 28 Februari 2024, sebelum mengemukakan permohonan.

“Kaedah bayaran proses UPUOnline di BSN melalui 350 kaunter cawangan BSN, 700 mesin juruwang automatik (ATM) BSN dan perbankan internet.

Calon dinasihatkan untuk menyimpan slip pembayaran sebagai bukti dan rujukan. Bagi calon yang telah membuat pembelian nombor PIN pada Fasa 1 juga boleh mengemas kini permohonan ketika Fasa 2 ini,” katanya lagi.

Dalam masa sama, KPT menganjurkan Program Jom Masuk U 2024 (JMU2024) bermula 4 Mei hingga 9 Jun di 10 zon seluruh negara bertujuan mempromosi
program pendidikan ditawarkan oleh institusi pendidikan tinggi di bawah KPT.

KPT menyasarkan kumpulan pelajar yang menduduki SPM, STPM, matrikulasi, asasi, sijil tinggi agama Malaysia (STAM) dan diploma atau setaraf.

Show More

Related Articles

Back to top button