Malaysia amal dasar asing yang seimbang – PM Anwar
KUALA LUMPUR – Malaysia mengamalkan pendirian dasar asing yang seimbang dengan rantau barat sambil mengekalkan hubungan dua hala yang kukuh dengan China, Korea Selatan serta Jepun.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia yang akan mempengerusikan ASEAN tahun depan turut komited memastikan rantau itu juga kekal bebas dan aman, sekali gus menjamin pertumbuhan ekonominya untuk terus mampan serta berupaya menarik pelaburan.
“Ada yang khuatir dengan kedudukan dasar luar (Malaysia) untuk terlibat dan bergantung kepada sokongan, kerjasama, pelaburan dari barat, Amerika Syarikat (AS).. Eropah, pada masa sama mengekalkan hubungan baik dengan China, Korea Selatan dan Japun.
“Lebih utama kepada China kerana potensinya (ekonomi), walaupun ada sensitiviti yang bukan disebabkan oleh masalah kami. Itu masalah antara mereka,” kata Anwar bercakap pada sesi Plenari Pembukaan Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Sedunia (WEF) di Riyadh, Arab Saudi, yang disiar secara langsung, hari ini.
Dalam konteks Malaysia, Anwar berkata, AS terus kekal menjadi pelabur utama, dengan China semakin menggandakan pelaburannya ke Malaysia sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“Bagaimana kami mengurusnya, saya hanya boleh mengatakan kami mengalu-alukan pelaburan, yang mengikut peraturan kami dan tanpa menetapkan sebarang syarat. Setakat ini kita menguruskannya, bukan mudah,” katanya sambil menambah Malaysia dan ASEAN juga sedang meneroka untuk menggandakan penerimaan pelaburan dari Afrika, Amerika Latin serta Asia Barat.