Tarikh akhir kemuka Borang TT 2023 dilanjutkan kepada 15 Mei ini
PUTRAJAYA – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengumumkan tarikh akhir pengemukaan e-Borang Tahun Taksiran 2023 (TT 2023) bagi individu pemastautin yang tidak menjalankan perniagaan dilanjutkan daripada 30 April ini kepada 15 Mei depan.
LHDN dalam kenyataan hari ini, berkata ia meliputi pembayar cukai kategori Individu Pemastautin (pekerja berpengetahuan /berkepakaran /bukan warganegara memegang jawatan utama) dan Individu Bukan Pemastautin.
Menurut LHDN, ia bertujuan memberikan pelepasan cukai kepada pembayar cukai dan menggalakkan mereka membayar cukai mengikut kategori dalam tempoh masa yang ditetapkan kerajaan.
“Kategori pembayar cukai adalah berbeza mengikut kategori, pertama iaitu majikan daripada jenis majikan syarikat atau bukan syarikat dan Syarikat Labuan perlu mengemukakan borang E jenis e-E dan e-CP8D sebelum 31 Mei 2024.
“Bagi kategori kedua pembayar cukai adalah individu, pertubuhan, harta pusaka dan keluarga sekutu Hindu yang terbahagi kepada beberapa fail, antaranya IG adalah untuk individu, F untuk pertubuhan, TP untuk harta pusaka dan J adalah untuk keluarga sekutu Hindu,” katanya dalam kenyataan media.
Katanya, tarikh akhir kategori kedua pembayar cukai itu adalah pada 15 Mei 2024 berbanding 30 April sebelum ini.
LHDN menegaskan pentingnya untuk mengisi maklumat diri dan perbankan yang tepat serta terkini bagi membantu kelancaran proses bayaran balik cukai (sekiranya ada).
Dalam pada itu, mulai 1 Januari lalu, perkhidmatan e-melalui Portal MyTax akan menjadi mandatori untuk urusan cukai dalam talian bagi memberikan akses yang mudah dan pantas kepada para pembayar cukai dalam melaksanakan urusan percukaian mereka tanpa perlu hadir ke pejabat LHDN.
Sementara itu, pembayar cukai dinasihatkan merujuk Program Memfail Borang 2024 untuk mendapatkan panduan yang betul di pautan https://www.hasil.gov.my/media/5u5aympa/program-memfail-borang-nyata-tahun-2024.pdf.
Untuk pertanyaan lanjut atau maklum balas, sila hubungi Hasil Contact Centre (HCC) di talian 03-8911 1000 atau 603-8911 1000 (Luar Negara) atau melalui borang maklum balas di portal rasmi LHDN di pautan https://mytax.hasil.gov.my/.