Peranan Yayasan Sarawak naik taraf aspek pendidikan anak negeri amat bermakna – TPM Fadillah
KUALA LUMPUR – Peranan berterusan Yayasan Sarawak dalam membantu menaik taraf pendidikan anak-anak negeri menerusi program pertukaran amat bermakna kepada negara dan negeri khususnya.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, program di bawah yayasan berkenaan yang dilaksanakan sejak 1972 telah berjaya mendedahkan golongan muda untuk mampu berdikari, bersosial, berinteraksi dan berkomunikasi dengan rakan-rakan mereka yang datangnya dari seluruh pelusuk negara.
“Saya juga ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Yayasan Sarawak kerana berjaya meneruskan Program Pertukaran Pelajar hingga ke hari ini.
“Satu program yang sentiasa dihati saya dan bila mengimbas kembali program ini dengan zaman saya dengan masa kini, program ini telah mampu memberikan impak yang bermakna bukan sahaja kepada diri saya tetapi juga rakan-rakan saya yang lain,” kata Fadillah yang merupakan antara generasi terawal yang terlibat dalam program ini.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika merasmikan Majlis Ramah Tamah Aidilfitri anjuran Yayasan Sarawak, di sebuah hotel di sini malam tadi.
Hadir sama, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Majlis yang sama turut menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) mengenai pertukaran pelajar antara Yayasan Sarawak dengan Kementerian Pendidikan (KPM).
MoU ini secara langsung mengukuhkan lagi komitmen kedua-dua belah pihak bagi memperkasakan lagi program yang telah dimulakan sejak 1972 tersebut.
Dibawah MoU ini, KPM akan menempatkan anak-anak Sarawak di Sekolah-Sekolah Berasrama Penuh yang terpilih di Semenanjung Malaysia dan juga penempatan anak-anak Semenanjung di Sekolah-Sekolah Berasrama Penuh di Sarawak di bawah KPM.
Bagi Yayasan Sarawak pula, ikatan ini merupakan komitmen untuk menaja kumpulan pelajar tersebut sehingga ke Tingkatan 5, bagi melahirkan modal insan dan bakal pemimpin yang berjiwa ‘Malaysia’ dan tidak hanya terkongkong dengan perspektif kenegerian semata-mata.
Yayasan Sarawak diwakili oleh Setiausaha Persekutuan Sarawak merangkap Ahli Lembaga Amanah Yayasan Sarawak, Datuk Ahmad Nadzri Mohd Hassan, manakala KPM pula diwakili oleh Ketua Setiausahanya, Datuk Nik Nasarudin Mohd Zawawi.