Disangka bahan letupan, rupanya komputer bimbit
Bungkusan tertulis 'Awas jangan campak nanti meletup ini bom'
SEPANG – Suasana tenang di Pusat Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini menjadi gempar apabila salah seorang pekerjanya menemukan sebuah bungkusan berupa bom.
Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Azman Shari’at berkata, pihaknya menerima laporan itu yang dibuat seorang pengendali mesin pengimbas di pusat kargo terbabit pada pukul 1.30 petang tadi.
Menurutnya, ketika diimbas, bungkusan terbabit dipercayai mengandungi bateri dan beberapa wayar.
“Semakan petugas terbabit juga mendapati bungkusan yang dialamatkan kepada individu di Limbang, Sarawak itu terdapat tulisan ‘Awas jangan campak nanti meletup ini bom’.
“Susulan itu, tindakan lanjut dilakukan oleh Unit Anjing Pengesan (K9) polis dan didapati negatif bahan letupan,” katanya hari ini.
Bagaimanapun, berikutan ayat ancaman yang tertulis pada bungkusan itu, Unit Pemusnah Bom (UPB) Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengambil tindakan menyelamat mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan
iaitu menggunakan ‘Wheel-Barrow Mk8 Plus’ dan satu butir ‘L2-A1 Cartridges’.
Kata Azman, bungkusan itu kemudiannya dimusnahkan dengan kaedah tembakan ‘pigstick’ berisi air yang dipasang pada robot pemusnah bom.
“Tiada sebarang letupan berlaku dan setelah prosedur tembakan dilakukan, didapati bungkusan tersebut mengandungi satu komputer riba dan kabel pengecas,” jelasnya.
Tegasnya, siasatan masih dijalankan dan kes diklasifikasi di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.