Berita Semasa

Tragedi helikopter TLDM: Kerajaan salur bantuan awal kepada waris mangsa

PUTRAJAYA – Kerajaan akan menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada semua keluarga mangsa yang terkorban dalam tragedi helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, Perak semalam.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, keputusan itu dipersetujui Jemaah Menteri dalam mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.

“Mesyuarat Jemaah Menteri pada hari ini merakamkan ucapan takziah kepada waris-waris pegawai dan anggota TLDM atas tragedi dua buah helikopter TLDM yang terhempas di Pangkalan TLDM Lumut semalam.

“Kerajaan turut menzahirkan rasa simpati atas kehilangan sepuluh wira-wira negara yang mencurah bakti sehingga ke akhir hayat mereka,” katanya dalam satu kenyataan, sebentar tadi.

Tambahnya, segala kos perjalanan terakhir yang meliputi penerbangan ihsan dan pengurusan jenazah akan ditanggung sepenuhnya oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Kementerian Pertahanan juga telah menubuhkan Tabung Khas bagi memudahkan orang ramai untuk turut menghulurkan sumbangan kewangan kepada keluarga mangsa,” kata Mohamed Khaled lagi.

Beliau kemudiannya menambah, Lembaga Siasatan yang ditubuhkan telah diarah untuk menyerahkan laporan awal dalam tempoh 14 hari bekerja dan laporan penuh dalam tempoh 30 hari bekerja.

Show More

Related Articles

Back to top button