Sultan Selangor dijangka hadir majlis tahlil, doa selamat ganti acara perbarisan Hari TLDM
KUALA LUMPUR – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang juga Kapten Kehormat Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dijangka turut berangkat dalam majlis tahlil serta doa selamat bagi menggantikan acara perbarisan sempena sambutan Ulang Tahun Perbarisan Hari TLDM Ke-90.
“Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah telah memberi perkenan agar sambutan Ulang Tahun dan Perbarisan sempena Hari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang ke-90 yang sepatutnya berlangsung bermula Jumaat ini, dibatalkan.
“Ia susulan tragedi nahas dua buah helikopter semasa raptai perbarisan pagi tadi di Pangkalan TLDM Lumut, Perak, yang telah mengorbankan nyawa 10 anggota TLDM.
“Sebaliknya, satu majlis bacaan yasin dan tahlil doa selamat akan diadakan bertempat di Masjid An-Nur, Pangkalan TLDM Lumut sebelum solat Jumaat,” katanya dalam satu kenyataan menerusi laman Facebook hari ini.
Pagi tadi, pesawat HOM (M503-3) dan AS550 Fennec yang membawa tujuh kru terhempas di stadium kem berkenaan manakala pesawat Fennec yang membawa tiga kru terhempas di kawasan kolam renang kem.
Kedua-dua helikopter itu dilaporkan berlepas dari padang Sitiawan pada pukul 9 pagi tadi sebelum bertembung ketika melakukan pergerakan akrobatik ketika melintasi ruang udara kem berkenaan.