KKM pantau aktiviti penjaja ala ‘Bombay street’
KUALA SELANGOR – Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus memantau aktiviti penjaja makanan ala ‘Bombay street’ seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Zulkeffly Ahmad berkata, tindakan penguatkuasaan yang lebih berkesan akan diambil terhadap mana-mana penjaja yang gagal mematuhi syarat penjajaan mengikut Peraturan- Peraturan Kebersihan Makanan 2009.
Jelas beliau, kementerian turut mengenal pasti modus operandi yang dilakukan peniaga asing terbabit.
“Kita sudah berada di situ bagi membuat tindakan dan memantau awal perkara tersebut.
“Pihak penguat kuasa KKM akan lebih cekap dan taktikal dari sudut itu bagi mengambil tindakan lanjut,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Kuala Selangor di Bandar Puncak Alam di sini, hari ini.
Jualan makanan ala ‘street food’ dipercayai beroperasi sekitar Masjid Al-Bukhary, Jalan Hang Tuah, Kuala Lumpur pada setiap Jumaat tular di media sosial sebelum ini.
Melalui video yang tular baru-baru ini, peniaga makanan dilihat menyediakan makanan tanpa menggunakan peralatan penyediaan makanan sebaliknya hanya menggunakan tangan.