Berita Semasa

Kadar tarif air di Perak naik 5 sen

IPOH – Kadar tarif air di negeri Perak akan naik 5 sen bagi setiap meter padu berkuat kuasa 1 Mei depan.

Pejabat Menteri Besar Perak dalam satu kenyataan berkata, kenaikan itu melibatkan penggunaan sehingga 20 meter padu sebulan, iaitu daripada 70 sen kepada 75 sen bagi setiap meter padu, manakala caj bagi penggunaan 21 hingga 35 meter padu ditetapkan pada kadar RM1.08, berbanding RM1.03 sebelum ini.

“Dengan kenaikan 5 sen, penetapan kadar tarif air baharu air di Perak adalah jauh lebih rendah berbanding kadar purata 22 sen yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

“Penetapan tarif baharu berkenaan bagaimanapun tidak menjejaskan program air percuma 25 meter padu sebulan untuk golongan sasar dan program air percuma 20 meter padu untuk rumah ibadat,” jelas kenyataan itu, hari ini.

Sementara itu, bagi mengurangkan kesan perubahan tarif kepada pengguna domestik, Lembaga Air Perak (LAP) memberikan rebat pada kadar 40 sen setiap meter padu bagi penggunaan sehingga 10 meter padu pertama sebulan iaitu bersamaan RM4 sebulan.

Melalui rebat berkenaan, kadar purata tarif bagi penggunaan sehingga 20 meter padu dapat dikurangkan kepada hanya 55 sen bagi setiap meter padu berbanding 75 sen sekiranya tanpa rebat.

Katanya, caj minimum bagi penggunaan domestik pula ditetapkan sebanyak RM7.50 sebelum mengambil kira pemberian rebat dan setelah mengambil kira rebat, caj minimum adalah RM3.50 berbanding kadar sekarang iaitu RM3.

Sementara itu untuk pengguna bukan domestik pula melibatkan kenaikan sama iaitu 5 sen bagi setiap meter padu penggunaan.

Penetapan baharu tarif air bagi negeri Perak itu dilaksanakan selepas 18 tahun apabila kali terakhir pindaan dilakukan pada tahun 2006.

Antara yang sudah mengumumkan tarif baharu bagi penggunaan domestik termasuklah Terengganu dan Melaka dengan kenaikan 16 sen setiap meter padu, Selangor (50 sen), Kelantan (23 sen), Johor (25 sen), Negeri Sembilan (16 hingga 24 sen) dan Pulau Pinang (28 sen).

Show More

Related Articles

Back to top button