Gangguan elektrik di Jenjarum sehingga Sabtu
KUALA LANGAT – Tiga kawasan di Jenjarom, Banting di sini akan mengalami gangguan bekalan elektrik sehingga Sabtu.
Tenaga Nasional Berhad (TNB) berkata, gangguan tersebut disebabkan kerja-kerja henti tugas berjadual yang dilaksanakan di Taman Desa, Kampung Baru Sungai Jarom dan Taman Yayasan 5.
“Kerja-kerja ini bermula jam 10 pagi hingga 10 malam.
“Sebarang kesulitan yang dialami pelanggan semasa kerja-kerja henti tugas ini amat dikesali.
“Untuk keselesaan para pengguna, kami mencadangkan persediaan awal dapat dilakukan untuk menghadapi gangguan bekalan ini,” kata TNB dalam satu hantaran di akaun Facebook miliknya hari ini.
TNB berkata, pihaknya juga mengambil langkah yang perlu dalam memastikan gangguan bekalan berlaku dalam tempoh paling minimum.
Pada masa sama katanya, pengguna diminta berhati-hati semasa mengendalikan peralatan elektrik terutama ketika berlakunya gangguan bekalan.
“Ini adalah kerana bekalan mungkin akan dipulihkan pada bila-bila masa,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan penduduk di 30 kawasan di Jenjarom akan mengalami gangguan bekalan elektrik sementara susulan kerja-kerja henti tugas berjadual di Pencawang Pembahagian Utama (PPU) Pekan Jenjarom.