Bayer Leverkusen cipta sejarah, tawan takhta Bundesliga selepas 120 tahun
NORTH RHINE-WESTPHALIA – Bayer Leverkusen menamatkan dominasi 11 musim Bayern Munich di Bundesliga dengan meraih gelaran juara liga buat kali pertama dalam sejarah.
Kelab berpangkalan di North Rhine-Westphalia itu membelasah Werder Bremen 5-0 di BayArena dan mengesahkan kejuaraan kelab bola sepak Jerman itu semalam.
Jurulatih Leverkusen, Xabi Alonso membawa “Die Werkself” meraih kemenangan dalam perlawanan ke-29 musim ini, dengan Florian Wirtz mencatatkan hatrik pada minit ke-68, ke-83 dan ke-90.
Victor Boniface dan Granit Xhaka juga menjaringkan gol pada minit ke-25 dan ke-60 untuk memberikan mereka 3 mata penuh.
Kejayaan ini memberi Leverkusen 79 mata, menjauhkan jurang mereka dengan Bayern Munich dan VfB Stuttgart yang menghuni kedudukan kedua dan ketiga dengan masing-masing meraih 63 mata.
Untuk rekod, ini adalah gelaran liga pertama Leverkusen sejak kelab itu ditubuhkan 120 tahun lalu pada tahun 1904.
Dalam pada itu, Leverkusen belum mengalami sebarang kekalahan dalam Liga Jerman musim ini dengan catatan 25 kemenangan dan empat seri.
Sehubungan itu, Bayer Leverkusen berpeluang mencatatkan rekod tanpa kalah atau “The Invincible” yang pernah dilakukan oleh pasukan dari England, Arsenal pada tahun 2002.