Pengawal peribadi cedera parah ditembak di KLIA
SEPANG – Seorang lelaki yang juga pengawal peribadi cedera parah ditembak oleh seorang lelaki di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA1) di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian pukul 1.30 pagi itu, seorang lelaki telah melepaskan tembakan sebanyak dua kali.
Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, salah satu tembakan telah terkena seorang lelaki tempatan yang juga pengawal peribadi.
“Selepas itu, suspek terus melarikan diri. Siasatan lanjut polis dapati lelaki tersebut sebenarnya mahu melepaskan tembakan ke arah isterinya yang berada di situ yang sedang menunggu kepulangan jemaah umrah.
“Bagaimanapun tembakan berkenaan mengenai seorang individu mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan parah sebelum suspek kemudiannya bertindak melarikan diri sejurus selepas kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.
Hussein berkata, motif kejadian masih dalam siasatan pihaknya.
Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai kes cubaan bunuh dibawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Akta Senjat Api.
“Pihak polis telah kenalpasti identiti suspek dan lancarkan operasi kesan ke atas saspek ini yang dipercayai telah melarikan diri ke utara.
“Dengan ini, adalah dimaklumkan kejadian ini adalah bersifat peribadi dan tidak melibatkan sebarang aktiviti keganasan atau mana-mana kumpulan.
“Keadaan di KLIA adalah terkawal dan selamat,” katanya.