Jaga adab, tutur kata ketika ziarah Aidilfitri
AIDILFITRI, dalam kita sedang asyik meraikannya di bulan Syawal ini dengan pelbagai adat, janganlah kita melupakan kewajipan yang dituntut agama.
Salah satunya adalah ziarah menziarahi yang telah diajarkan oleh Islam.
Aktiviti ziarah ini juga telah menjadi adat masyarakat Melayu ketika Aidilfitri, akan tetapi ia sangat dituntut oleh Nabi Muhammad SAW.
Tujuan utama ziarah menziarahi bukanlah sekadar untuk berbual-bual, tetapi mengeratkan hubungan kekeluargaan dan persahabatan.
Dalam Islam, ziarah menziarahi sangat digalakkan kerana tuntutan untuk menjaga silaturahim antara satu sama lain.
Dalam hadis Nabi Muhammad SAW menegaskan orang menziarahi orang lain kerana Allah tanpa sebarang kepentingan peribadi akan dicintai Allah SWT.
Nabi SAW bersabda: “Seorang lelaki menziarahi saudaranya di satu perkampungan lain. Lalu Allah menghantar malaikat untuk berada di jalan ke kampung ingin ditujui. Apabila lelaki itu mendekati, malaikat bertanya: Ke manakah engkau hendak pergi? Lelaki itu menjawab: aku ingin menziarahi saudaraku di kampung ini. Malaikat bertanya: Apakah kenikmatan kamu inginkan darinya? Lelaki itu menjawab: Tidak. Sesungguhnya aku mencintainya kerana Allah Azza Wa Jalla. Malaikat itu berkata: Sesungguhnya aku adalah utusan Allah dihantar kepada engkau. Allah mencintai engkau sebagaimana engkau mencintai saudara engkau itu. (HR Muslim)
Dalam hadis lain, Rasulullah SAW mengingatkan kepada orang diziarahi atau tuan rumah supaya memuliakan dan menghormati tetamunya.
Hal ini kerana, ia dikaitkan dengan keimanan kepada Allah dan hari akhirat.
Sebagai tuan rumah, adab-adab perlu dijaga antaranya, menyambut tetamu dengan senyuman dan ramah.
Tuan rumah digalakkan menyediakan hidangan dengan penuh keramahan termasuk menyediakan makanan yang halal, baik dan bersih seperti yang dituntut agama.
Kita juga perlulah menghormati tetamu tanpa mengira status sosial atau taraf ekonomi mereka.
Sebagai tetamu pula, terdapat adab-adab yang perlu dijaga semasa ziarah menziarahi.
Antaranya meminta izin atau memberitahu tuan rumah sebelum datang ke rumah mereka.
Kita juga mestilah memilih masa yang sesuai untuk mengelakkan mengganggu waktu makan, rehat, solat atau tidur tuan rumah.
Dalam berbual kita perlu berkomunikasi dengan sopan dan elakkan topik sensitif.
Tetamu juga dituntut menghormati tuan rumah dan berkelakuan sopan ketika berada di dalam rumah.
Dengan mengamalkan adab-adab ini, tradisi ziarah menziarahi dapat dijalankan dengan baik, mengukuhkan hubungan sosial dan kekeluargaan dalam masyarakat yang berteraskan nilai-nilai Islam.