Berita Semasa

Polis jamin tiada unsur berat sebelah kes remaja maut bertembung kenderaan polis

MELAKA – Polis memberi jaminan bahawa siasatan telus dan adil akan dilakukan berhubung kes kemalangan maut membabitkan seorang remaja dengan kenderaan polis di Jalan Gangsa Kesang, Durian Tunggal, Alor Gajah, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah menegaskan bahawa tiada unsur pilih kasih dalam siasatan sedang dijalankan.

“Pihak PDRM (Polis Diraja Malaysia) akan menjalankan siasatan secara telus dan adil dalam menentukan punca sebenar kemalangan.

“Kita juga tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai dan anggota sekiranya hasil siasatan membuktikan wujudnya unsur kecuaian di pihak kami dalam melaksanakan tugas.

“Tindakan tegas akan diambil dan tiada unsur berat sebelah dalam siasatan kes ini,” katanya memetik laporan BH Online.

Media hari ini melaporkan pekerja kilang perabot, Mohammad Khairul Basahri, 18, meninggal dunia ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Melaka akibat parah di kaki dan badan dalam kemalangan dengan kenderaan polis di Jalan Gangsa Kesang, Durian Tunggal, Alor Gajah, kira-kira jam 2.56 pagi semalam.

Ashari berkata, Timbalannya, Deputi Superintendan Azrul Mohamed bersama pegawai penyiasat dan anggota trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah turut menziarahi ahli keluarga mangsa di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka.

Katanya, dalam pertemuan itu pihaknya menyampaikan ucapan takziah serta memberi penerangan dan jaminan bahawa siasatan kes itu akan dijalankan secara telus.

Show More

Related Articles

Back to top button