Jenayah & Mahkamah

Logo mirip kalimah Allah, PDRM rampas 1,145 pasang kasut

KUALA LUMPUR – Pihak Polis Diraja Malaysa (PDRM) sudah merampas sebanyak 1,145 pasang kasut bagi membantu siasatan berkaitan logo kasut didakwa mirip kalimah Allah.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kesemua rampasan itu dilaksanakan di sekitar Johor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Kedah.

“Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman akan berurusan dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk melihat adakah (logo) itu mengikut reka bentuk kasut atau melambangkan tulisan khat (kalimah Allah),” katanya dalam satu sidang akhbar, di sini pada Isnin.

Beliau berkata, pihaknya akan turut memanggil wakil syarikat kasut berkenaan bagi membantu siasatan.

“Penjual atau syarikat pengeluar kasut, kita akan panggil. Selain itu, paling penting adalah laporan daripada JAKIM.

“Sebanyak lapan laporan diterima berkaitan isu itu sehingga pukul 7 malam malam tadi,” katanya lagi.

Semalam, laporan media menyebut mahawa PDRM telah membuka satu kertas siasatan berkaitan dakwaan satu jenama kasut memaparkan logo mirip kalimah Allah pada tapaknya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Dalam pada itu, Pengurusan Vern’s Holding Sdn Bhd memohon maaf berhubung logo kasut tumit tinggi keluarannya yang menyinggung perasaan umat Islam di negara ini.

Syarikat itu dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya sama sekali tidak berniat untuk menghasilkan reka bentuk logo yang bertujuan untuk memperlekeh atau menghina mana-mana agama atau kepercayaan.

Show More

Related Articles

Back to top button