COVID_19: Orang ramai masih perlu berjaga-jaga
PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) mengingatkan orang ramai supaya mengambil langkah-langkah berjaga-jaga ketika berada di kawasan sesak dan tertutup sewaktu perayaan Aidilfitri yang bakal menjelang tiba.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, orang ramai masih perlu mengambil langkah berjaga-jaga bagi menangani virus COVID-19 yang telah berada di sekitar manusia, ketika ini.
“Langkah-langkah yang disyorkan KKM dengan mencuci tangan secara berkala, memakai pelitup muka terutamanya di tempat ramai atau bagi individu berisiko tinggi, serta mematuhi prosedur TRIIS (Test, Report, Isolate, Inform, Seek) sekiranya mengalami gejala,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Radzi berkata, walaupun kes dan kematian akibat COVID-19 di Malaysia telah menunjukkan penurunan ketara, penyebaran varian Omicron dan subvariannya masih menjadi dalang utama penyebab COVID-19.
Ketika ini, jumlah kes COVID-19 yang dilaporkan pada minggu pertama April (ME14/2024) adalah sebanyak 493 berbanding dengan 17,256 pada ME1/2024 yang menunjukkan penurunan 97.1 peratus.
Sementara itu, bilangan kematian akibat COVID-19 juga merosot iaitu dari 32 kes kepada satu kes dalam tempoh yang sama, menunjukkan penurunan sebanyak 95.5 peratus.
“Meskipun keadaan semakin membaik, kita perlu menyedari bahawa virus ini akan terus wujud dalam kalangan kita.
“KKM akan terus mengawasi perkembangan COVID-19 di peringkat tempatan dan global,” tambahnya lagi.