‘Ah Foo minta maaf’
Pengasas syarikat Vern's mohon maaf isu logo pada kasut berupa kalimah Allah
PUTRAJAYA – Pengasas syarikat kasut, Vern’s Holding Sdn Bhd, Datuk Seri Ng Chuan Hoo mengakui isu logo kasut yang dikeluarkan syarikatnya merupakan satu kesilapan yang tidak disengajakan.
Beliau yang turut dikenali sebagai Ah Foo berkata, salah faham yang timbul akibat logo berkenaan mengajar dirinya supaya lebih teliti pada masa hadapan.
“Walaupun perkara ini salah faham, saya memahami ia menyakitkan dan tak gembira masyarakat agama Islam dalam salah faham ini, Ah Foo minta maaf berkenaan isu ini, hari ini saya ambil pengajaran akan salah faham ini, pada masa depan (saya) perlu lebih sensitif dan berhati-hati,” katanya,hari ini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan pegawai dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di Kompleks Islam Putrajaya, di sini hari ini.
Dalam pertemuan yang berlangsung selama satu jam itu, Ah Foo berkata beliau berulang kali meminta maaf kepada umat Islam berkenaan isu ini dan berterima kasih atas layanan baik dan tunjuk ajar yang diberikan.
“JAKIM dan polis akan buat siasatan, selepas siasatan, langkah kedua perlu saya buat adalah beri kerjasama. Pada masa depan, berniaga perlu berhati-hati dan hormat walaupun satu salah faham,” tambahnya.
Ujarnya, dia telah mengarahkan pihaknya untuk menghentikan penjualan kasut tersebut sebaik sahaja menerima maklumat dari pembantunya semalam mengenai isu ini.
Isu logo tersebut mula menjadi tular berikutan setelah beberapa pengguna media sosial memuat naik gambar dan video kasut berkenaan sejak beberapa hari lalu.
Berikutan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, telah meminta JAKIM supaya memanggil pembuat kasut berkenaan bagi memberi penjelasan.
Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Razarudin Husain, sehingga semalam terdapat 8 laporan polis yang diterima dari empat negeri berkenaan isu ini.
Beliau turut menambah, pihaknya telah merampas sebanyak 1,145 pasang kasut yang didakwa mempunyai logo berkenaan dari beberapa negeri di utara dan selatan Semenanjung.