CIDB rai penggiat industri pembinaan negara
KUALA LUMPUR – Lembaga Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) akan menganjurkan Anugerah Kecemerlangan Industri Pembinaan Malaysia 2024 (MCIEA) sebagai meraikan kecemerlangan penggiat industri pembinaan negara.
Ketua Eksekutif CIDB Malaysia, Datuk Sr Mohd Zaid Zakaria berkata, MCIEA yang dianjurkan setiap tahun sejak lebih 20 tahun lalu itu diteruskan kembali selepas tiga tahun tertangguh akibat pandemik Covid-19.
“Pada tahun ini, CIDB kembali menganjurkan MCIEA sebagai pengiktirafan kepada semua penggiat industri pembinaan yang cekal dalam menghadapi pelbagai cabaran
terutamanya semasa selepas pandemik Covid-19.
“MCIEA memberi peluang kepada semua penggiat industri pembinaan untuk menunjukkan pencapaian mereka dalam menerajui inovasi, kualiti dan kemampanan serta mendapat pengiktirafan ke atas sumbangan kepada industri pembinaan
Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, anugerah itu bakal memberi pengiktirafan kepada 5 kategori utama iaitu Anugerah Kontraktor Terbaik (Kontraktor G1 hingga G6); Anugerah Projek Terbaik; Anugerah Pencapaian Antarabangsa; Anugerah Jurubina Terbaik (Kontraktor G7) dan Anugerah Tokoh Terkemuka.
Katanya, penyertaan bagi MCIEA kini dibuka melalui laman web www.mciea.my bermula 4 April sehingga 3 Jun 2024.