Dera budak guna seterika, air panas, suami isteri ditahan
KENINGAU – Sepasang suami isteri ditahan oleh polis di sini semalam kerana disyaki mendera dua kanak-kanak lelaki berusia lima dan 13 tahun sejak bulan lalu.
Mereka didakwa mendera kedua-dua mangsa menggunakan seterika, batang besi, sudu panas dan air panas hingga menyebabkan badan luka dan melecur.
Ketua Polis Keningau, Yampil Anak Garai, berkata kejadian disedari oleh seorang lelaki berusia 27 tahun ketika didatangi mangsa berusia 13 tahun yang menjual burger di sebuah premis, kira-kira 12 tengah hari, pada 2 Mac lalu.
Katanya, lelaki itu menyedari terdapat kesan luka seperti kesan terkena seterika pada badan kanak-kanak terbabit disyaki didera.
“Menyedari keadaan mangsa seperti didera, dia kemudian membuat laporan polis sebelum kedua-dua suspek suami isteri berusia 27 dan 36 tahun ditahan di rumah sewa mereka di pekan Keningau.
“Hasil siasatan mendapati kedua-dua suspek adalah peniaga burger,” katanya ketika dihubungi, menurut Berita Harian.
Beliau berkata siasatan lanjut pihaknya mendapati seorang lagi mangsa lelaki berusia lima tahun turut didera oleh kedua-dua suspek.
“Mangsa berusia 13 tahun itu adalah anak tiri kepada suspek wanita manakala seorang lagi anak angkat kedua-dua suspek. Mereka dipercayai didera di rumah sewa suspek antara 24 Mac hingga 30 Mac lalu.
“Mangsa berusia 13 tahun dipercayai didera menggunakan seterika beberapa kali pada bahagian depan dan belakang badan kerana terdapat kesan melecur yang sudah hampir kering. Ia dilakukan suspek kerana mendakwa mangsa menipu menghabiskan jualan burger,” katanya.
Menurutnya, mangsa terbabit turut dipukul dengan kayu dan besi manakala seorang lagi disiram dengan air panas di lantai selain dipaksa berdiri atas air panas hingga kaki melecur.
“Dia turut dipukul menggunakan besi di bahagian belakang badannya. Suspek wanita pula menekap badan mangsa dengan seterika yang dikatakan lambat membuka lampin pakai buang ketika bangun tidur,” katanya.
Beliau berkata kedua-dua suspek juga didapati mempunyai kes jenayah lampau berkait dadah dan siasatan lanjut masih dilakukan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.