Politik

Tengku Zafrul letak jawatan Bendahari UMNO Selangor

KUALA LUMPUR – Ketua UMNO Bahagian Kota Raja, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan perletakan jawatannya sebagai Bendahari UMNO Selangor berkuat kuasa hari ini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa itu berkata, kebangkitan parti berkenaan di Selangor dilihat hambar dan tidak sehaluan dengan tema di UMNO pusat.

“Saya melihat sendiri bagaimana Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan kepimpinan nasional tidak henti merangka jalan kebangkitan parti di peringkat pusat.

“Namun sejauh mana hebat perencanaan pusat, namun di Selangor pelaksanaan itu hambar malah ada ketika tidak sehaluan dengan tema di pusat,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook miliknya hari ini.

Menurut bekas Menteri Kewangan itu, pendekatan dan prinsip yang diamalkannya mudah iaitu jika tidak dapat menyumbang kepada perubahan positif atau penambahbaikan maka beliau tidak harus memegang sesuatu jawatan.

Jelas beliau, Selangor merupakan sebuah negeri yang amat penting untuk mana-mana parti politik bertapak susulan demografi yang majmuk dengan asas majoriti Melayu Bumiputera.

“Kerancakan ekonominya sentiasa meletakkan Selangor sebagai lokasi tumpuan segenap aktiviti,” katanya.

Tambah Tengku Zafrul, sewaktu dipilih sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO dari Selangor dan dilantik selaku Bendahari UMNO Selangor lebih setahun dahulu, beliau telah meletakkan satu matlamat utama untuk menyumbang kepada kebangkitan UMNO di negeri itu.

“Keputusan pilihan raya negeri tahun lepas sewajarnya menjadi tanda jelas bahawa sesuatu perubahan perlu dilaksanakan dengan segera.

“Antara lain, tawaran kepada pengundi Selangor harus dibina dengan lengkap, diuji dan disemak dengan pemegang taruh,” ujarnya.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul turut merakamkan ucapan terima kasih atas lantikan dan kepercayaan yang diberikan kepada beliau.

Ujar Tengku Zafrul, beliau akan tetap meneruskan tugasan, peranan sebagai Ketua UMNO Bahagian dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi yang dipilih.

“Saya sentiasa mendoakan agar Allah merestui perjuangan hakiki kita bersama dan semoga UMNO khususnya UMNO Selangor bertapak kembali di hati rakyat Negeri ini, Insya-Allah,” ujarnya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button