Rencana

Fadillah Yusof TPM tanpa kontroversi, kisah panas

SEMALAM ketika berbual bersama-sama rakan ketika moreh, seorang rakan penulis bertanyakan pandangan mengenai Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Tersentak seketika sambil penulis merenung jauh memikirkan mengenai tokoh politik dari Sarawak ini. Sepanjang membuat laporan berita mengenai beliau sejak menjawat jawatan selaku Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi lebih sedekad lalu hingga sekarang, tiada langsung berita negatif yang terpalit pada dirinya.

Malah, perwatakan Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) ini sangat ‘humble’ dan jauh daripada kisah kontroversi panas yang sering terpalit pada sesetengah pemimpin politik sekarang.

Jika ada pemimpin politik yang menggunakan publisiti murahan untuk mendaki tangga dalam arena politik, Ahli Parlimen Petra Jaya ini tidak sebegitu sebaliknya beliau naik dengan karisma dan kepintaran yang tersendiri.

Majoriti undi lebih 41,000 yang diperoleh beliau pada PRU14 lalu membuktikan kepercayaan pengundi di Petra Jaya mengenai kemampuan beliau. Bagi yang mengikuti rapat perjalanan politik beliau sejak menjadi Ketua Pemuda PBB pasti tidak terkejut jika beliau diangkat sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Sebagai Timbalan Perdana Menteri yang diberi tugas menjaga hal ehwal di Sarawak dan Sabah, beliau berjaya mengemudinya dengan baik. Setiap isu berbangkit dapat diuruskan dengan cemerlang.

Sebagai contoh sembilan perkara atau tuntutan asas berkenaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) berjaya diselesaikan sepenuhnya dalam tempoh setahun.

Manakala 14 tuntutan antaranya isu royalti minyak dan pembayaran tunai petroleum, mineral minyak dan medan minyak, Akta Laut Wilayah 2012 [Akta 750], hak negeri ke atas pelantar benua serta pertambahan perjawatan perkhidmatan awam Sabah dan Sarawak di bawah Perkara 112 Perlembagaan Persekutuan masih dalam perbincangan.

Kerja keras beliau itu membuktikan komitmen Kerajaan Persekutuan yang terus komited dalam memastikan perkara termaktub dalam MA63 diselesaikan mengikut Perlembagaan Persekutuan dan kerangka undang-undang sedia ada.

Selain itu, Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air turut cemerlang mengetuai kementerian yang baharu diwujudkan itu selepas rombakan Kabinet pada Disember tahun lalu.

Dalam tempoh itu, kementerian itu telah bertindak merangka Pelan Tindakan Kecekapan Tenaga Negara 2.0 (NEEAP 2.0) yang berupaya mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, potensi perniagaan serta pelaburan demi manfaat negara dan rakyat.

Dari segi politik, Naib Presiden Kanan PBB itu berjaya membentuk gandingan mantap bersama Presiden PBB yang juga Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Openg.

Dengan kepercayaan dan gandingan mantap beliau bersama pimpinan parti politik lain, penulis tidak terkejut jika beliau melangkah setapak lagi dan diangkat sebagai Perdana Menteri pertama dari Borneo.

Show More

Related Articles

Back to top button