Berita Semasa

[KEMAS KINI] Dua terbunuh insiden bas terbalik di Lebuhraya KL-Karak

BENTONG – Dua penumpang dilaporkan terkorban dalam kemalangan membabitkan sebuah bas persiaran di Kilometer 51.4 Lebuhraya Kuala Lumpur – Karak, berhampiran Hentian Rehat Lentang, dekat sini, hari ini.

Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, ketika kejadian, bas yang sedang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Karak dinaiki 16 penumpang dan seorang pemandu itu dipercayai terbabas sebelum terbalik.

Berikutan kejadian, 18 anggota dari Bomba dan Penyelamat Bentong dihantar ke lokasi sebaik menerima laporan mengenai kemalangan itu diterima pada pukul jam 7:53 pagi.

Katanya, sebaik tiba di lokasi, Komander Operasi melaporkan kemalangan membabitkan sebuah bas persiaran terbalik berhampiran laluan berselekoh dan merentangi lebuh raya.

“Terdapat 16 mangsa termasuk empat warga negara asing dan seorang mangsa tersepit.

“Bomba bertindak mengeluarkan mangsa tersepit dengan peralatan menyelamat.

“Laporan awal diterima 14 mangsa cedera dan dua meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Menurutnya, mayat kedua-dua mangsa diserah kepada polis untuk tindakan lanjut dan semua mangsa tercedera dihantar ke Hospital Bentong.

Tambahnya, identiti kedua-dua mangsa terbunuh dalam nahas itu masih belum disahkan.

Show More

Related Articles

Back to top button