Kerajaan beri jaminan hasil cukai diguna untuk bantuan, kesejahteraan rakyat
CYBERJAYA – Kerajaan sentiasa peka terhadap keperluan setiap golongan masyarakat dan berusaha memastikan tiada golongan yang tercicir, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Berucap pada Program Mahabbah Ramadan HASiL 2024 di sini malam tadi, Amir Hamzah berkata, melalui hasil cukai yang dikutip oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN), ia akan dibelanjakan semula oleh kerajaan dalam pelbagai bentuk bantuan dan kemudahan.
“Ia seperti Program Bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Bantuan Awal Persekolahan (BAP) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA),” katanya.
Yang hadir sama, Ketua Setiausaha Perbendaharan, Datuk Johan Mahmood Merican, Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Tariq Jamaluddin serta Ahli-ahli Lembaga Pengarah LHDN.
Dalam majlis yang sama, seramai 175 anak yatim dan golongan asnaf diraikan menerusi sumbangan bagi membantu mereka membuat persiapan Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi.
Penyampaian sumbangan telah disempurnakan oleh Amir Hamzah dengan setiap satu daripada sepuluh keluarga menerima sumbangan RM1,000 selain sebanyak RM5,000 diperuntukan bagi setiap setiap rumah kebajikan anak-anak yatim.
Selain itu, Tariq Jamaluddin berkata, adalah besar harapan beliau agar sokongan dan sumbangan tersebut dapat diteruskan untuk mendukung pembangunan dan kemaslahatan anak-anak dan keluarga yang diraikan pada masa hadapan.
“LHDN berharap keceriaan di dalam majlis ini akan terus dirasai oleh tetamu yang diraikan dengan sumbangan yang akan disampaikan terutamanya untuk persiapan menjelang Aidilfitri,” katanya.
Dalam pada itu, LHDN amat berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan Lembaga Zakat Selangor dalam usaha mengenalpasti keluarga miskin, anak yatim dan golongan asnaf yang memerlukan di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.
“Semoga sumbangan yang disampaikan ini dapat membantu mengurangkan beban yang ditanggung oleh para penerima sumbanan,” katanya dalam satu kenyataan.