KKM kompaun gerai jual murtabak ada kain buruk
PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) mengeluarkan satu notis kompaun terhadap sebuah gerai di Bazar Ramadan Desa Pandan, Kuala Lumpur susulan penemuan kain di dalam martabak yang dijual.
Menurutnya dalam kenyataan hari ini, notis itu dikeluarkan di bawah Peraturan 32(1)(b) Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009.
“KKM melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) telah menjalankan siasatan lanjut dan mendapati kecuaian semasa pengendalian makanan telah menyebabkan kehadiran cebisan kain pengelap dalam martabak tersebut.
“Beberapa kesalahan lain yang dikenal pasti telah dilakukan oleh pemilik gerai termasuk tidak membuat pengasingan yang jelas untuk bahan mentah dan makanan yang telah dimasak, menggunakan kain pengelap yang tidak bersih dan pengendali makanan tidak memakai pakaian pelindung diri dengan sempurna,” katanya.
Katanya, peraturan itu memperuntukkan pengendali makanan memakai baju luar yang bersih, sesuai dan berwarna cerah atau apron berwarna cerah, penutup kepala dan kasut atau apa-apa pakaian yang sesuai pada pendapat pengarah atau seseorang pegawai yang diberi kuasa olehnya.
Katanya, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1,000.
Baru-baru ini, tular di media sosial mengenai pencemaran makanan di Bazar Ramadan Desa Pandan dengan penemuan secarik kain didakwa kain buruk di dalam martabak yang dibeli oleh seorang wanita.
Mengulas lanjut, KKM berkata, sehingga kini, sebanyak 10,570 premis bazar Ramadan di seluruh negara telah diperiksa.
Jelasnya, peniaga makanan yang didapati tidak mematuhi kehendak di bawah Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya boleh dikenakan tindakan denda tidak melebihi RM 100,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.
KKM turut mengingatkan semua peniaga premis makanan termasuk di bazar Ramadan untuk mempertingkatkan tahap kebersihan dan keselamatan makanan di premis masing-masing bagi mengelakkan sebarang pencemaran silang dan kehadiran bendasing dalam makanan yang dijual.
Selain itu, KKM memberi jaminan tahap keselamatan dan kualiti makanan sepanjang Ramadan adalah terkawal melalui pelaksanaan pemantauan serta penguatkuasaan yang berterusan.
Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, mereka boleh menghubungi mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah, Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melayari laman sesawang http://moh.spab.gov.my serta facebook Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) www.facebook.com/bkkmhq.