Sukan

Ketua jurulatih Vietnam dipecat VFF

HANOI – Ketua jurulatih Vietnam, Philippe Troussier telah dipecat oleh Persekutuan Bola sepak Vietnam (VFF) selepas pasukannya tewas kepada Indonesia pada aksi kelayakan Piala Dunia 2026 zon Asia malam tadi.

Keputusan memecatnya adalah susulan daripada kekalahan di Hanoi, yang mana ia merupakan kekalahan kedua dalam tempoh enam hari kepada Indonesia.

Penambahan kepada lapan tempat bagi wakil Asia pada pusingan akhir 2026 memberi harapan yang tinggi kepada Trouisser sebagai satu-satunya peluang untuk melayakkan Vietnam ke Piala Dunia buat pertama kalinya.

Namun begitu, dua kekalahan yang berturut-turut bermakna pasukan tersebut kini berada di tangga ketiga Kumpulan F dan ketinggalan empat mata di belakang saingan mereka dari Asia Tenggara.

Hanya dua pasukan teratas setiap kumpulan pada pusingan kedua kelayakan zon Asia itu layak ke pusingan seterusnya.

Dalam situasi ini, Vietnam mesti menang menentang Filipina dan Iraq pada Jun depan serta berharap Indonesia gagal meraih tiga mata daripada dua baki perlawanan mereka sekiranya mereka hendak memastikan kelayakan mereka terjamin.

Sementara itu, Iraq memastikan satu daripada dua tempat kelayakan dari kumpulan itu apabila mereka mengalahkan Filipina 5-0 malam tadi.

Show More

Related Articles

Back to top button