Jenayah & Mahkamah

Kedai serbaneka KK Mart di Perak dibaling bom petrol

BIDOR – Sebuah cawangan kedai serbaneka KK Mart di sini dibaling dengan bom petrol, awal pagi tadi.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri yang mengesahkan kejadian itu berkata, insiden itu dipercayai berlaku pada kira-kira pukul 5.35 pagi sebelum disedari oleh kakitangan kedai serbaneka terbabit.

Tambahnya, pihak polis menerima laporan daripada pengadu iaitu seorang wanita warga tempatan berhubung kejadian tersebut pada pukul 8.49 pagi.

Pengadu berusia 20 tahun itu memaklumkan dia ketika itu sedang bekerja apabila dia secara tiba-tiba terdengar bunyi botol pecah di hadapan premis dan terus keluar untuk memeriksa keadaan.

“Terdapat serpihan kaca serta bahan letupan menyerupai mercun di atas lantai kedai dan pengadu juga terhidu bau seperti minyak tanah daripada serpihan kaca itu,” katanya.

Mohd Yusri kerkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan Program Pencegahan Jenayah Komersial Phone Scam-Penyamar Pos Malaysia di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak, di sini hari ini.

Mohd Yusri berkata, pihaknya kini sedang memburu individu yang terlibat dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan atas kesalahan khianat yang membawa hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

“Polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan suspek dan kita juga sedang menyiasat rakaman daripada kamera litar tertutup (CCTV) premis berkenaan,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Norseha Baharudin di talian 0177964459.

Show More

Related Articles

Back to top button