Sukan

Gagal lunas tunggakan gaji: Kedah, KL City diberi peluang akhir

KUALA LUMPUR – Kuala Lumpur City FC (KL City) dan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) diberi peluang terakhir membuat bayaran 50 peratus jumlah tunggakan gaji bagi tahun 2023 selepas gagal berbuat demikian pada 15 Mac lalu.

Menurut Pengerusi First Instance Body (FIB), Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif, sehubungan itu kedua-dua pasukan itu diber peluang sehingga 30 Mac ini untuk melunaskan tunggakan itu.

“FIB juga telah menerima surat rasmi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang bersetuju menyalurkan sumbangan bagi menyelesaikan bayaran tunggakan gaji KL City bagi tahun 2023 sebelum akhir Mac 2024.

“Manakala bagi KDA FC, kelab itu telah menyerahkan bukti pembayaran sejumlah RM 600,000 sebagai bayaran sebahagian tunggakan gaji semasa bagaimanapun ia tidak mematuhi bayaran 50 peratus jumlah tunggakan gaji seperti ditetapkan FIB.

“Namun begitu, FIB telah menerima bukti kewangan sumber dana yang akan diterima KDA FC dalam masa terdekat.

“Walaupun FIB memberi ruang untuk KL City dan KDA FC menyelesaikan tunggakan gaji atas komitmen tinggi kedua-dua kelab itu namun FIB bersedia untuk mengenakan tindakan ke atas kedua-dua kelab itu untuk memastikan pematuhan kepada arahan FIB dihormati dan dipandang serius,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, sekiranya KL City dan KDA FC gagal menyelesaikan kesemua jumlah tunggakan gaji berkenaan pada tarikh itu hukuman pemotongan tiga mata bagi saingan Liga Super musim 2024-2025 dan denda sebanyak RM 50,000 akan dikenakan dengan serta merta berdasarkan kepada Peraturan Pelesenan Kelab MFL Edisi 2023 “Article 2.4 (c) Licensing Sanctions”.

Pada masa sama katanya, FIB juga akan menilai semula status lesen kelab tersebut jika tidak mematuhi tarikh akhir kedua pembayaran tunggakan gaji serta tidak memiliki kewangan kukuh untuk terus bersaing dalam musim Liga Malaysia yang akan datang.

Show More

Related Articles

Back to top button