Anjur Kejuaraan MotoGP lebih murah berbanding F1 – Hannah Yeoh
KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, memberitahu Dewan Rakyat hari ini bahawa penganjuran Formula Satu (F1) dan Formula E menelan kos yang terlalu tinggi berbanding Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP).
Menurut Hannah, sebanyak RM53.2 juta diperlukan untuk kejuaraan MotoGP berbanding F1 yang menelan belanja terlalu tinggi iaitu RM228 juta.
Tambah Hannah, anggaran bagi penganjuran Formula E pula adalah lebih kurang RM12O juta iaitu dua kali ganda berbanding MotoGP.
“Walaupun semua orang mengatakan penganjuran ini bagus, penganjuran itu bagus, tetapi kita kena tengok kemampuan dan minat rakyat terhadap sukan tersebut.
“Kenapa MotoGP? Seperti yang saya katakan, 182,000 pengunjung akan datang dan Litar Antarabangsa (Petronas) Sepang memerlukan acara MotoGP ini,” katanya semasa sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2023, Kementerian Belia dan Sukan (KBS), di Dewan Rakyat hari ini.
Mengulas mengenai dakwaan Malaysia bakal menganjurkan kejohanan F1, Hannah berkata, terdapat pihak yang membida kejohanan tersebut tanpa kebenaran kerajaan.
“Selepas bida, mereka datang berjumpa dan kata sudah dapat bidaan dan nak duit untuk anjurkan. Jadi tidak adil untuk kerajaan kalau ada pihak yang pergi bida tanpa mendapatkan kelulusan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Hannah berkata, pihaknya juga bakal mengadakan pertemuan bersama rakan kongsi tempatan untuk mendengar maklumat berhubung penganjuran final Formula E.
“Kita akan adakan satu mesyuarat…berjumpa dengan mereka minggu depan bagi mendengar maklumat tersebut,” katanya lagi.